6. BENIH dan PEMBENIHAN
Benih udang galah boleh dibeli dari pusat penetasan swasta atau kerajaan atau secara mengeluarkannya sendiri. Terdapat 8 buah pusat penetasan benih udang galah swasta dan dua buah milik kerajaan beroperasi di Malaysia sekarang. Kompleks kolam udang yang berdayamaju sepatutnya mampu menghasilkan benih sendiri supaya operasi ternakan dapat berjalan mengikut jadual yang ditetapkan. Bekalan benih dari pihak lain kerapkali tidak mengikut jadual, jumlah yang kurang atau mutunya boleh dipersoalkan. Penghasilan sendiri benih udang galah adalah mudah. Kursus pembenihan udang galah boleh diperolehi di Pusat Penetasan Udang Galah (PPUG) Kerajaan di Kampung Acheh, Sitiawan, Perak dan di Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Benih Udang Kebangsaan (PPPBUK) di Kuala Muda, Kedah. Umumnya, satu pusingan pembenihan mengambil masa 35 hari. Dalam setahun sebanyak 5 pusingan pembenihan dapat dilakukan setelah mengambilkira masa untuk membersihkan kelengkapan, waktu rehat (break cycle) dan kerja-kerja pembaik pulih peralatan.
6.1 Teknologi Pembenihan
6.1.1 Sistem Intensif
Sistem ini direkacipta di Tahiti dalam tahun 1970 (AQUACOP,1977). Ia menghasilkan benih udang galah menggunakan air yang di kitar semula. Kos peralatan dan operasi agak tinggi kerana beberapa pam air dan teknologi penapisan yang canggih digunakan. Sistem ini memerlukan penjagaan rapi dan operator yang berpengalaman. Bahan kimia biasa digunakan secara berterusan dan banyak. Penghasilan anak udang (juvenile) adalah tinggi (110ekor/l) dengan kos pengeluaran antara 2.2-2.5 sen/ekor. Satu pusingan pengeluaran selama 30-35 hari. Sistem ini perlu dibina berhampiran laut kerana memerlukan air laut yang banyak. Ia lebih sesuai kepada pengusha skil komersial (Yaacob, A. dan Liong, P.C., 1996).
6.1.2 Sistem Separa Intensif
Sistem ini memerlukan pertukaran air 50% -100% setiap 2-4 hari. Teknik air hijau atau air jernih digunakan di sini. Memerlukan bekalan air laut yang banyak juga. Kos modal dan operasi agak rendah dan mampu menghasilkan anak udang sebanyak 30-70 ekor/l. Kos pengeluaran seekor anak udang adalah 2.2-2.4 sen.
6.1.3 Sistem Air Pusingan.
Teknologi ini tidak memerlukan penambahan air disepanjang operasi penghasilan benih. Daya angkat udara (air lift) diguna sebagai punca tenaga untuk mengkitar semula air dalam sistem ini (Hambal. 1986).
6.1.4 Sistem Ekstensif
Sistem paling mudah dan lebih murah. Ia tidak memerlukan penambahan air sepanjang masa pengeluaran benih. Pengusha kecil mampu menggunakan sistem ini kerana ia boleh dibina berhampiran kolam. Kos penghasilan benih sekitar 2.2-2.7 sen bagi setiap ekor anak udang
6.1.5 Sistem Lain
Terdapat juga sistem asuhan rega udang galah dalam kolam tanah (Tunsutappanich, A. et al, 1997). Sistem ini agak rumit kerana saiz benih yang kecil sukar untuk ia diasingkan dari lumpur kolam.
6.2 Pengendalian Benih
6.2.1 Pengendalian dengan cermat
Benih udang galah adalah kecil, rapuh dan sensitif kepada kecederaan, dan perubahan sekitaran. Semasa pengiraan, pembungkusan dan pelepasan, benih hendaklah dikendali dengan cermat untuk mengurangkan kecederaan fizikal.
6.2.2 Kurangkan kejutan suhu
Perbezaan suhu air dalam bekas mengandungi benih udang dan suhu air kolam hendak tidak terlalu jauh (<2.00C). Ini dapat dilakukan dengan mengapungkan bekas plastik di dalam kolam selama 10 minit atau lebih terlebih dahulu.
6.2.3 Pastikan kadar pelepasan
Anggarkan bilangan benih yang hidup ketika penerimaan dengan menghitung beberapa beg sebagai sampel untuk memberi gambaran tentang kadar hidup semasa penghantaran seterusnya menentukan kadar pelepasan yang diperlukan. Masalah terlebih atau terkurang stocking dapat diatasi sekiranya langkah tersebut diambil.
6.2.4 Pelepasan benih diketika suhu rendah
Adalah ideal untuk melepaskan benih udang/ikan ketika awal pagi atau larut petang (malam). Ini kerana suhu rendah ketika itu dapat mengurangkan kejutan suhu semasa penghantaran. Walaubagaimanapun sekiranya benih diterima ketika tengahari, adalah lebih baik ia dilepas juga ketika itu untuk mengurangkan kematian oleh faktor tekanan (stress) jika masih berada dalam bekas plastik tersebut.
6.3 Teknik Pelepasan Benih
6.3.1 Pelepasan ke kolam asuhan
Bertujuan menghasilkan benih bersaiz besar untuk pelepasan ke kolam ternakan. Ini bertujuan untuk meningkatkan kadar hidup udang dalam kolam ternakan kelak. Dilakukan oleh pengusha yang menghasilkan sendiri benih kerana jumlah yang dihasilan melebihi permintaan (jualan dan kegunaan sendiri). Kadar pelepasan dalam kolam asuhan adalah tinggi, misalnya sehingga 1000 ekor/m�. Makanan awalan (starter) diberikan kepada anak udang. Jangkamasa asuhan sekitar 2 bulan. Kolam dijaring dan benih dipindah ke dalam kolam ternakan.
6.3.2 Pelepasan terus ke kolam ternakan
Cara ini biasanya dilakukan untuk benih yang dibeli. Jangkamasa ternakan antara 4 - 6 bulan. Kadar pelepasan adalah antara 10-15/m�. Makanan awalan (starter) diberikan untuk udang asuhan.
BENIH & PEMBENIHAN



Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No Response to "BENIH & PEMBENIHAN"
Post a Comment